Monday 23 August 2010

UPSR MENJELANG TIBA

Khas buat semua anak didikku yang bakal menduduki UPSR

Kira-kira sebulan dari sekarang tarikh keramat yang ditunggu-tunggu akan tiba. Sudahkah anda semua bersedia? Ingat walau apa jua yang terjadi fokuskan semua tumpuan anda kepada peperiksaan, walaupun tarikh perayaan akan mendahului hari peperiksaan. Tangguhkan dahulu musim perayaan anda kerana UPSR yang akan anda duduki. Dalam tempoh masa ini, cikgu suka menasihatkan anda semua agar menjaga kesihatan dan keselamatan. Jika anda sihat, maka semua perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Jadi siapkan dirimu dengan segala persediaan demi berjuang untuk meraih kejayaan yang cemerlang. Ingatlah kami warga pendidik SK Masai sentiasa mendoakan kejayaan semua anak didik yang kami sayangi. Semoga kejayaan cemerlang menjadi milik anda khasnya dan milik kita semua. Selamat Maju Jaya.

Thursday 13 May 2010

SELAMAT HARI GURU


Kedatangan Hari Guru amat bererti buat semua guru di Malaysia, begitu juga kami warga pendidik di SK Masai ini. Justeru, pada kesempatan ini diucapkan Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia amnya, juga buat guru-guru di SK Masai ini. Semoga kami akan terus dikurniakan kekuatan dalam mencurahkan bakti mendidik anak-anak di bumi Masai ini. Buat semua warga pendidik di sini, semoga kalian akan terus tabah dalam menjalankan tugas dengan penuh ikhlas, dan semoga usaha kita akan menampakkan hasil dan mendapat ganjaran daripada-Nya.

Saturday 24 April 2010

BANGUNAN BARU - HARAPAN SETINGGI GUNUNG



Proses terakhir pembinaan bangunan baru yang kini berada pada fasa terakhir membuatkan kami warga SK Masai begitu teruja. Besar sungguh harapan kami sekiranya bangunan baru ini dapat digunakan segera dalam tahun ini juga. Semoga impian kami akan menjadi realiti demi keselesaan anak-anak didik dalam meneruskan perjuangan menuntut ilmu demi kecemerlangan mereka.

PROGRAM BERTEMU PELANGGAN TAHUN 6


Hari Bertemu Pelanggan khas buat murid Tahun 6 Afiat & Afdal telah diadakan pada 24 April 2010. Kehadiran ibu bapa murid agak membanggakan. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk membincangkan permasalahan pembelajaran anak-anak mereka demi meningkatkan prestasi pencapaian mereka dalam peperiksaan peringkat sekolah mahupun negeri dan seterusnya dalam UPSR akan datang. Diharapkan pesanan dan teguran daripada guru terhadap anak-anak mereka dapat diterima dari sudut pandangan yang positif demi peningkatan mereka, juga untuk masa hadapan yang lebih cemerlang.

Saturday 3 April 2010

SIKAP DAN SAHSIAH SEORANG GURU

PERANAN GURU TERHADAP DIRI SENDIRI DAN KERJAYA
* Memahami segala bidang tugas
* Berpegang dan perbetulkan niat dalam menjalankan tugas
* Berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran
* Sanggup berkorban
* Motivasikan diri dan menilai kerjaya sendiri

PERANAN GURU TERHADAP PARA PELAJAR
* Mengajar melalui proses pembelajaran terancang
* Membimbing cara belajar berkesan
* Membimbing teknik menjawab dalam peperiksaan
* Memberi analisis soalan tahun-tahun lepas dan soalan ramalan
* Menasihati dan memotivasikan semangat belajar para pelajar
* Mencipta hubungan baik dengan anak didik
* Mewujudkan hubungan baik dengan ibu bapa pelajar
* Memberikan latihan sebagai latih tubi dan menandanya.
* Membentuk sahsiah dan disiplin para pelajar
* Membantu menyelesaikan semua masalah peribadi pelajar

PERANAN GURU TERHADAP IBU BAPA PELAJAR
* Memahami dan mempunyai rasa empati terhadap harapan ibu bapa pelajar

PERANAN GURU TERHADAP MASYARAKAT
* Berusaha bersungguh-sungguh untuk ‘memanusiakan’ manusia

PERANAN GURU TERHADAP NEGARA
* Menjadi insan terbaik agar dapat menghasilkan warganegara dan modal insan yang terbaik dan terbilang demi kemenjadian negara kita.

Saturday 13 March 2010

KEM KEPIMPINAN 2010




Ini antara aktiviti yang dijalankan oleh para fasilitator. Nampaknya semua murid begitu teruja untuk menyertai setiap aktiviti yang dijalankan.








Wajah barisan guru-guru serta fasilitator yang terlibat dalam Kem Kepimpinan yang dilaksanakan bersama dengan pelajar-pelajar UiTM Segamat.







Inilah wajah dua orang hero baru SKM yang akan bertugas di kem ini nanti



Satu Kem Kepimpinan telah diadakan di Tiram Indah Village pada 27 & 28 Februari 2010. Seramai kira-kira 120 orang murid tahun 4, 5 dan 6 terlibat dalam kem ini. Gambar menunjukkan mereka baru tiba di tapak kem.


Friday 12 March 2010

MOTIVASI IBU BAPA DAN AKUJANJI 2010




Program motivasi ibu bapa dan akujanji 2010 telah diadakan di T.S.Hotel pada 6 Februari 2010. Seramai hampir 130 orang ibu bapa kepada murid-murid tahun 6 telah hadir bagi menjayakan program yang amat bermakna ini.

Dalam program ini saudara penceramah undangan En Norhisham b Kasmuni telah berkongsi pengalaman cara bagaimana untuk membantu dan mendorong anak-anak terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan awam. Sesungguhnya program ini telah menyuntik semangat kepada anak-anak serta memberi input yang amat berharga buat para ibu bapa.

TINGGAL KENANGAN



Ini merupakan bangunan kantin lama yang kini telahpun dirobohkan bagi mendirikan bangunan baru setinggi 4 tingkat. Bangunan baru yang sekian lama menjadi idaman warga sekolah ini kini dalam proses akhir pembinaan dan diharapkan dapat digunakan segera setelah siap sepenuhnya.


Sunday 7 March 2010

GURU BESAR SK MASAI 2010


GURU BESAR
CIK KALSOM BINTI SALEH
Inilah wajah tonggak utama Sekolah Kebangsaan Masai. Beliau mula berkhidmat di sekolah ini pada bulan September 2008 hingga kini. Di bawah teraju beliau, bermulalah era baru pada kedudukan bangunan sekolah di mana bangunan kantin diroboh untuk diganti dengan bangunan baru setinggi 4 tingkat yang kini giat dalam proses akhir pembinaan.